Wednesday 8 October 2014

KESAN 'boncengan gratis': Adakah anda peduli ?

Ditulis oleh: Prof Dr A Murad Merican
Diterbitkan oleh: Utusan Malaysia
Tarikh: 04 August 2011

Kegiatan 'boncengan gratis' hakis kesarjanaan dan hikmah universiti


UNIVERSITI di Malaysia kehilangan hikmah. Akhir-akhir ini kita lihat universiti merestui 'pemboncengan gratis' di kalangan ahli akademik. Jika tidak membonceng dalam kegiatan penyelidikan dan penerbitan, mereka dianggap sebagai tidak normal. Tiba-tiba kita terlihat banyak nama yang menulis pada sesuatu karya. Perkara itu tidak salah. Tetapi jika nama-nama itu tidak ada kaitan intelektual dengan bidang atau tema yang dibincangkan, bagaimana kita mengukur hasilnya? Walaupun kajian dan penulisan antara disiplin digalakkan, perlu ada teguran jika ia disalahgunakan. Ramai ahli universiti yang telah salah tafsir konsep dan falsafah penglibatan kepelbagaian disiplin dalam sesuatu projek kajian.

Jika nama-nama itu hanya dikenali dengan kepakaran bahasa dan kemungkinan besar hanya menyunting sesuatu hasil penulisan, apakah namanya layak berkampung sekali? Kadang-kadang, seseorang ketua jabatan itu meminta namanya diletakkan sebagai penulis bersama kepada penulisan yang tidak ada kaitan dengan bidangnya. Asalkan tindakan itu dapat memberi markah kepada semua terbabit, dapat dicatat dalam kurikulum vitae dan dinilai untuk kenaikan pangkat, ia 'restui' oleh semua yang terbabit. Tanggapan sedemikian merupakan satu masalah amat besar yang melanda pandangan alam universiti ke arah 'prestasi yang cemerlang.'

Pemerhatian Prof. Muhammad Syukri Salleh (Utusan Malaysia, 20 Julai 2011), dan Prof. Madya Mohamad Md. Yusof ( Utusan Malaysia, 26 Julai 2011) ke atas gejala budaya material yang menular di universiti amat menakutkan. Jika ini tidak ditangani, akan pupuslah kesarjanaan di Malaysia. Ini ada kaitannya dengan bagaimana universiti kita dipaparkan dan ditonjolkan kepada dunia. Tidak kira universiti awam atau swasta, terlihat semacam kegilaan yang menyesatkan. Ini ada kaitannya dalam penonjolan keakraban universiti dengan industri dan profesion. Universiti kita kini nampaknya tidak mempedulikan etika dan tatasusila dalam kerjasama, pemasaran dan pengiklanan universiti dan tawaran kursus yang ada. Jika kajian rambang dilakukan, pihak industrilah yang 'dipertuhankan.'

Universiti tidak boleh 'diindustrikan'. Malangnya inilah yang sedang berlaku apabila ahli akademik membonceng, sama ada dalam projek penyelidikan atau penerbitan, di mana hasil karya dan penulisan seseorang itu diukur dengan kaedah nombor, kerana kaedah inilah yang paling mudah. Nampaknya, banyak masa terbuang dengan menumpukan kepada cadangan menulis dan mendapatkan pembiayaan penyelidikan, dan menyiapkan laporan penyelidikan. Ada yang menerbitkannya dan ada yang tidak. Akan tetapi apakah menerbitkan hasil penyelidikan yang dibiayai itu satu bukti pencapaian dan pemaparan kesarjanaan? Kita lupa hikmah yang perlu ada pada universiti. Nilai jauhari terhakis dalam diri kita sehinggakan kita tidak lagi mengenal manikam. Kita tidak tahu menilai idea, konsep dan teori.

Saya khuatir jika gejala ini berlarutan tanpa kekangan, maka hapuslah kesarjanaan di Malaysia. Yang ada hanya kilang-kilang mengeluarkan ijazah hasil dari para pensyarah yang taksub kepada model Pengajaran Berasaskan Hasil (OBE) yang tidak boleh mengukur nilai dan kepercayaan. Pensyarah-pensyarah berkenaan membayangi bahawa mereka bukan pensyarah tetapi sebahagian daripada profesion dan pasaran. Itu merosakan nilai akademik. Mereka tidak dapat membezakan antara nilai akademik dan nilai pasaran. Dengan itu apa yang kian berlaku ialah masyarakat pensyarah dilentur untuk akur kepada KPI tanpa kesarjanaan dan hikmah.

Apa yang mereka peduli ialah mengajar mengikut acuan yang diberi, mendapat sekian banyak pembiayaan untuk penyelidikan (tidak kira siapa membonceng) dan menerbit dalam jurnal-jurnal yang berindeks dalam pangkalan data tertentu. Amalan budaya material dan wang sebagai pengukur hasil para pensyarah kini amat tebal di kalangan universiti kita. Ini hendaklah dihentikan.

Para pemimpin universiti hendaklah muhasabah akan kesan jangka panjang jika ia berlarutan. Ilmu dan kesarjanaan tidak dapat dijanakan tanpa keikhlasan dan integriti. Malah, keadaan ini kian mempengaruhi para pensyarah muda, dan juga yang lama. Ada wang, boleh terbit dan ini dikira dalam KPI pensyarah itu dan universiti. Budaya ini telah banyak disalahgunakan. Ada 'pakar' dari universiti tempatan, yang dijemput oleh beberapa buah universiti lain, memaklumkan bahawa 'membonceng' itu halal. Dan 'membonceng' itu membolehkan nama kita tersiar di berpuluh-puluh jurnal dalam masa setahun. Dan kegiatan ini amat digalakkan. Dengan itu, seseorang itu dinilai sebagai 'cemerlang' dan seterusnya dianggap sebagai pensyarah yang 'berkualiti.' 

1. Di mana integritinya di sini?

2. Apakah istilah 'cemerlang' dan 'kecemerlangan' dan 'kualiti' itu telah mengaburkan kita akan kesarjanaan dan hikmah? 

3. Mengapa istilah 'cemerlang' ini digunakan dengan sewenang-wenangnya dalam universiti dan masyarakat kita?

Saya kira kita telah lari daripada matlamat asal mengapa kita bekerja di universiti dan asas penubuhan universiti itu. Saya bukan menentang usaha dan inisiatif ke arah memperbaiki pengajian tinggi kita. Apa yang saya ingin tegur ialah usaha itu telah banyak disalah tafsir dan disalah guna oleh para pensyarah lalu direstui oleh pentadbir universiti itu sendiri.

Wednesday 1 October 2014

REALITI: Amalan 'boncengan gratis' dalam dunia akademik

Ditulis oleh Mohd Shukri Hanapi, Felo Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA), Universiti Sains Malaysia
Tarikh: 20 Julai 2011
Penerbit artikel: Utusan Malaysia

SELAIN amalan plagiarisme, terdapat satu lagi amalan yang dikatakan semakin berleluasa dalam dunia akademik pada masa kini, iaitu boncengan gratis.

Masalah inilah sebenarnya yang cuba dibincangkan oleh Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh dalam artikelnya Sindrom 'Boncengan Gratis' Dalam Dunia Akademik yang disiarkan oleh Utusan Malaysia baru-baru ini. Ia merupakan satu isu 'dalaman' dalam dunia akademik yang amat penting diberi perhatian oleh ahli-ahli akademik dan para pelajar.

Berdasarkan apa yang telah dibincangkan oleh Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh itu, dapatlah dirumuskan lima faktor utama yang mendorong kepada berleluasanya amalan boncengan gratis dalam dunia akademik ketika ini. Faktor-faktor tersebut ialah Pertama, meletakkan nama penyelia atas permintaan mereka. Berhubung hal ini, ada segelintir ahli akademik yang dipertanggungjawabkan sebagai penyelia kepada seseorang pelajar, meminta pelajar seliaannya itu memasukkan namanya sebagai penulis bersama dalam sebarang penulisan akademik yang dihasilkan. Tidak kiralah sama ada penulisan akademik itu berbentuk kertas kerja seminar, atau artikel jurnal atau buku yang dihasilkan dari tesis, asalkan ada kaitan dengan seliaannya sahaja terus diminta dimasukkan nama. Alasan yang diberikan ialah perlu meletakkan nama penyelia kerana dia telah menyumbang idea dan membimbing pelajar sehingga dapat menyiapkan penyelidikan.

Kedua, meletakkan nama penyelia sebagai penghargaan seseorang pelajar terhadap sumbangan yang diberikan oleh penyelianya. Dalam hal ini pula, ada segelintir pelajar yang rasa amat terhutang budi kepada penyelianya kerana mereka banyak menyumbang idea, membimbing, memberi tunjuk ajar, menyemak hasil penulisan akademik sehingga berjaya menyiapkan penyelidikan, artikel jurnal, kertas kerja dan sebagainya. Bagi golongan pelajar ini, mereka merasa 'amat bersalah' jika tidak memasukkan nama penyelia sebagai penulis bersama dalam penulisan akademik yang dihasilkan, walau pun penyelianya itu tidak pernah meminta pun mereka berbuat demikian.

Ketiga, wujud penulis-penulis yang berpakat untuk bertukar-tukar meletakkan nama masing-masing dalam sesebuah hasil penulisan akademik yang mereka tulis. Hal ini boleh terjadi dalam tiga keadaan. Pertama, sesama ahli akademik. Kedua, sesama pelajar. Ketiga, antara seseorang akademik (lazimnya penyelia) dengan pelajarnya.
Sebagai contoh, Si A, B dan C masing-masing menulis kertas kerja untuk sesuatu seminar. Pada masa yang sama, mereka berhasrat untuk mencukupkan hasil penulisan akademik bagi tujuan-tujuan tertentu. Lalu mereka berpakat untuk menghasilkan dan membentangkan tiga kertas kerja dalam satu seminar. Cara yang dilakukan itu boleh digambarkan sebegini. Si A menulis sebuah kertas kerja, pada masa yang sama dia meletakkan juga nama Si B dan C di bawah namanya. Dengan hanya menukarkan nama penulis pertama sahaja, Si A, B dan C masing-masing 'berjaya' menghasilkan dan membentangkan tiga buah kertas kerja dalam satu seminar. Jika diperhatikan, sekejap mereka menjadi penulis pertama, dan sekejap mereka menjadi pembonceng gratis.

Keempat, memasukkan nama seseorang rakan yang tidak memberi apa-apa pun sumbangan yang sepatutnya dengan alasan ingin membantunya. Sebagai contoh, Si A dan Si B telah berpakat untuk menulis sebuah artikel secara bersama untuk diterbitkan dalam sesebuah jurnal akademik. Sebaik sahaja artikel jurnal itu siap ditulis, tiba-tiba Si B meminta kebenaran Si A untuk memasukkan nama kawannya, iaitu Si C (pembonceng gratis) dengan alasan ingin membantu Si C yang masih belum cukup hasil penulisan dan penerbitan akademik. Sedangkan dalam hal ini Si C tidak memberi apa-apa sumbangan pun dan tidak tahu apa pun yang ditulis oleh rakan-rakannya.

Kelima, meletakkan nama seseorang rakannya yang lain kerana dia membiayai sepenuhnya kos untuk membentangkan sesebuah kertas kerja di sesuatu seminar. Membiayai kos pembentangan merupakan hal ehwal yang tidak melibatkan penulisan. Justeru, ini juga boleh dikatakan satu bentuk boncengan gratis. Dalam hal ini, boleh terjadi juga apabila seseorang yang telah menghasilkan sesebuah kertas kerja untuk dibentangkan dalam sesuatu seminar, tetapi atas sebab-sebab tertentu dia tidak dapat pergi membentangkan kertas kerjanya itu. Atas inisiatif lain, beliau meminta bantuan salah seorang dari rakannya untuk membentangkan kertas kerja tersebut. Rakannya pun itu menyatakan kesanggupan untuk membentang, tetapi dengan syarat perlu meletakkan namanya selaku penulis bersama terlebih dahulu walau pun tidak menyumbang apa jua bentuk penulisan pun.
Berdasarkan kepada kesemua faktor yang mendorong kepada berleluasanya amalan boncengan gratis di Malaysia pada ketika ini, dapatlah disimpulkan bahawa amalan boncengan gratis yang dibincangkan oleh Muhammad Syukri sebelum ini perlu diberi perhatian oleh ahli-ahli akademik dan ditangani dengan sebaik mungkin. Walau pun dalam boncengan gratis itu ada unsur 'reda' dari penulis pertama, ia tetap dianggap sebagai amalan yang tidak beretika dan berintegriti dalam dunia akademik.

Dengan membiarkan amalan boncengan gratis ini berleluasa dalam dunia akademik, maka sudah pasti akan lahirlah ahli-ahli akademik dan pelajar-pelajar yang tidak beretika dan tidak berintegriti dalam menghasilkan sesebuah penulisan atau penerbitan akademik.