Saturday 26 September 2015

Pekerjaan di dalam bidang Zoologi

1. Sejak kebelakangan ini, saya sering tertanya-tanya kepada diri sendiri, di manakah saya akan berada selepas tamat pengajian di peringkat universiti? Saya akan kerja sebagai apa dan bagaimanakah pekerjaan saya di dalam dunia sebenar dalam bidang Zoologi ini?

2. Jika dilihat dalam Career Fair, Job Fair dan seumpamanya, amat sukar untuk mencari pekerjaan di dalam bidang Zoologi ini jika dibandingkan dengan pekerjaan seperti akauntan, jurutera, IT dan sebagainya.

3. Maka, saya seringkali berfikir bahawa bidang Zoologi ini sudah termasuk di dalam bidang yang sangat khusus dan sangat jarang dikenali orang awam. Contohnya, jika orang bertanya kepada saya, "bidang apa kamu ambil di universiti?", dan saya akan menjawab 'Zoologi'. Orang yang bertanya akan terus berfikir sama ada saya akan menjadi 'doktor haiwan' ataupun kerja di 'Zoo'.

4. Namun, hakikatnya, bidang zoologi ini sangat luas kerjayanya seperti menjadi pegawai penyelidik atau sains, penyelia di zoo dan taman-taman negara, pensyarah, penasihat polisi dalam perlindungan hidupan liar, penceramah bebas mengenai kepentingan hidupan liar, pemandu pelancong, penulis buku dan magazine, jurufoto hidupan liar dan sebagainya.

5. Walau bagaimanapun, kita perlu bijak dalam mengatur kerjaya kita sendiri sebelum menjadi orang yang diperlukan di dalam bidang Zoologi ini. Hal ini kerana terdapat ramai orang daripada luar negara yang amat menyukai hidupan liar yang terdapat di dalam negara kita, tetapi amat sukar untuk mencari 'pakar-pakar di dalam disiplin tertentu' untuk dirujuk.

6. Oleh itu, untuk mengembangkan kerjaya kita sebagai ahli di dalam bidang Zoologi ini, amatlah wajar untuk mengenali dan mengambil pengajaran daripada kisah jalan hidup pakar-pakar Zoologi yang terkenal di dalam dan luar negara dalam mencari ilham dan inspirasi untuk berjaya seperti mereka pada suatu hari nanti.


Thursday 3 September 2015

Mengapa sukar mendapat pekerjaan?

Seringkali saya mendengar keluhan para graduan tidak kira di peringkat Diploma mahupun ke peringkat Sarjana bahawa mereka sukar mendapatkan pekerjaan setelah tamat pengajian walaupun belajar sehingga ke menara gading.

Maka saya ajukan soalan-soalan untuk dijawab terlebih dahulu:

1. Berapakah orang lain yang kamu tidak kenal graduat setiap tahun pada peringkat pengajian kamu?

2. Mengapa kamu rasa kamu lebih layak untuk mendapatkan pekerjaan tersebut berbanding orang lain yang setaraf kelulusan dengan kamu?

3. Siapa yang kamu kenal lebih baik daripada kamu dalam bidang kamu dan apakah yang menyebabkan kamu rasa dia lebih baik daripada kamu?

4. Apakah kelebihan yang kamu rasa kamu ada yang orang lain tidak ada dalam pekerjaan yang dipohon?

5. Apakah perkara atau projek mini yang kamu 'initiate sendiri' tanpa disuruh dan berjaya dihasilkan atau dilaksanakan semasa di sekolah atau universiti?

Jawapan daripada soalan 1-4 memang dapat dijawab dengan baik tetapi apabila mengajukan soalan 5, rata-rata akan senyap atau tidak dapat menjawab dengan baik.

Kesimpulan: Rata-rata majikan ingin mencari pekerja yang proaktif iaitu yang 'initiate sendiri' sesuatu perkara tanpa disuruh semasa di sekolah atau universiti. Justeru, apabila orang lain ada satu produk, saya akan mempunyai dua produk.

Dengan itu, jika pekerjaan terutamanya dalam bidang Zoologi yang sangat khusus dan peluang pekerjaan yang sangat terhad di dalam bidang ini di Malaysia, maka X-faktor amat diperlukan untuk bersaing dengan graduan lain yang semuanya mempunyai kelulusan yang sama.