Saturday 2 July 2016

Menulis artikel jurnal: Saya sepatutnya berada di tahap mana?

Setiap pelajar pascasiswazah perlu menulis dan menerbitkan artikel jurnal sebagai kriteria untuk bergraduat. Contohnya, 1 artikel untuk peringkat Ijazah Sarjana dan 2 artikel untuk peringkat Ijazah Kedoktoran. Pelajar pascasiswazah perlu menerbitkan artikel jurnal ISI (Q1-Q4) atau SCOPUS mengikut tahap pendidikan di universiti masing-masing. 

Namun, saya sering mendengar rintihan pelajar bahawa penyelia menyuruh pelajar untuk menerbitkan artikel jurnal di Q1/Q2, dan ada juga yang menyuruh untuk menulis 'review article' untuk jurnal lagi !!! Sedangkan di dalam syarat untuk bergraduat, tidak pernah dinyatakan syarat sedemikian - Perlu terangkan syarat geran penyelidikan kepada pelajar secara telus.

Dengan itu, biar saya memberi analogi tahap-tahap jurnal untuk mudah difahami.

Pertama, untuk mencapai pada tahap kecemerlangan di peringkat yang tertinggi, kita digalakkan untuk memanjat tangga satu demi satu. Jika kita melangkaui tangga tersebut untuk berada di atas dengan cepat, kemungkinan besar kita akan terjatuh dengan mudah pada bila-bila masa. 

Kedua, jika kita disuruh untuk berlari 10 km, kita akan berlari perlahan-lahan secara konsisten dalam keadaan 'bermarathon' sehingga ke garisan penamat, daripada cuba untuk memecut dengan laju, dan tidak ada stamina untuk meneruskan larian tersebut selepas beberapa saat.

Begitu juga untuk penerbitan artikel jurnal. Jika kita mempunyai tapak yang kukuh, iaitu dengan menerbitkan bilangan artikel jurnal yang banyak pada peringkat bawah dahulu, lama-kelamaan kita akan menaiki tangga dengan selamat dan tidak tersungkur dengan begitu mudah.

Maka, panduan umum yang praktikal dari kaca mata saya sendiri adalah seperti berikut:


Profesor/Profesor Madya: Q2/Q1 dan 'review article'
Pensyarah/Pensyarah kanan: Q3/Q2
Paska kedoktoran (post-doc): Q3/Q2
Pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD): Q4/Q3
Pelajar Ijazah Sarjana (Master): SCOPUS/ Q4

Dengan ini, baru kita dapat fahami mengapa ramai pelajar pascasiswazah tidak berjaya untuk memenuhi kriteria untuk bergraduat.

Kesimpulannya
1. Jika hendak menyuruh orang lain untuk menulis artikel jurnal pada peringkat yang sukar i.e. Q1/Q2 dan 'review article', tanpa melalui proses 'marathon' seperti di atas, kita sendiri harus buktikan bahawa kita sendiri mampu buat dahulu semasa kita berada pada tahap pendidikan dan kelebihan yang terhad:
a. Tempoh 2 tahun untuk Ijazah Sarjana dan 3 tahun untuk Ijazah Kedoktoran. 
b. Biasiswa yang tamat tempoh dalam masa 2 atau 3 tahun

2. Orang yang menyuruh itu boleh nilai dengan penerbitan yang ditulisnya sendiri terlebih dahulu.

3. 'Walk the Talk'