Sunday 1 May 2022

Biawak Air

Penulis: Dzulhelmi Nasir, Irham Razak & Azyyati Azizi

Foto: Syadan Ginu

Apabila kita terfikir tentang reptilia, kita akan terbayang binatang yang berkuku, menjelirkan lidah, panjang, bersisik, tahan lasak dan menakutkan. Di dunia ini, terdapat sekitar 79 spesies biawak yang telah dikenalpasti. Di negara kita, terdapat tiga spesies biawak iaitu Biawak Air (Varanus Salvator), Biawak Kudung (Varanus dumenrilii) dan Biawak Serunai (Varanus Rudicolis). Antara ketiga-tiga spesies ini, Biawak air adalah yang kerap kelihatan kerana ia mampu hidup di pelbagai habitat dan juga kawasan yang mempunyai kaitan dengan manusia.

Gambarajah 1: Biawak air pandai berenang

Biawak air adalah bersaiz besar seakan-akan rupa buaya kecil jika dilihat di dalam air. Lidahnya bercabang, kuku yang tajam, kakinya kuat dan ia mempunyai deria bau yang sangat efektif. Ia boleh membesar sehingga dua meter, dan beratnya boleh mencecah sehingga 50 kilogram. Ia boleh berlari dan juga mampu berenang dengan sangat pantas di dalam air. Biawak air adalah karnivor yang memakan pelbagai haiwan lain termasuklah ikan, tikus, ular dan juga bangkai haiwan yang telah mati. Oleh kerana metabolism yang tinggi, ia memerlukan makanan yang lebih kerap. Di dalam hutan, ia boleh kelihatan tidur pada batang pokok dengan kakinya terjatuh ke bawah. Ia juga boleh dijumpai di dalam lubang-lubang tanah di mana ia bterteduh dan bertelur. Selain itu, Biawak air boleh menyimpan air di dalam badan dengan agak baik, akan tetapi, ia bergantung kepada persekitaran. Untuk mengelakkan kehilangan air, mereka akan mengorek dan tinggal di dalam lubang di bawah tanah.

Biawak air mengurai bangkai haiwan di dalam sistem pencernaan mereka dan menukar bahan-bahan organik tersebut kepada nitrogen. Nitrogen merupakan salah satu elemen penting dalam kelangsungan kitaran hidup sesebuah tumbuhan. Seperti yang kita sedia maklum, tumbuhan merupakan komponen asas dalam sesebuah kitaran makanan. Dalam setiap kitaran makanan, tumbuhan merupakan pembekal tenaga utama untuk memastikan organisma lain mendapat sumber makanan yang cukup. Hal ini menunjukkan kehadiran biawak air akan memberi impak yang besar ke atas ekosistem sesebuah kawasan. Oleh itu, proses penguraian ini adalah penting untuk memastikan kelangsungan kitaran tenaga dalam sesebuah rantaian makanan.

Gambarajah 2: Biawak air memakan bangkai haiwan lain

Tambahan pula, Kehadiran biawak air sebagai pemangsa mengawal jumlah populasi organisma lain, seterusnya menyeimbangkan kitaran ekosistem. Selain itu, biawak air juga berkeupayaan untuk memastikan kawasan persekitaran bersih dengan mengurai bangkai binatang. Keupayaan mereka untuk mencerna makanan dengan cepat dalam sesuatu masa turut mempercepat proses penguraian bahan organik dalam sesuatu kawasan. Bahan organik yang dimaksudkan dalam konteks ini adalah bangkai haiwan. Ini akan menjurus kepada persekitaran yang bersih untuk didiami oleh manusia.

Namun begitu, Biawak air sering disalah erti oleh masyarakat kita. Adalakalanya, haiwan ini akan dicederakan atau dibunuh jika terserempak mereka memasuki kawasan kediaman manusia. Hal ini kerana rupanya yang kelihatan bengis, dan kepercayaan bahawa ia mempunyai gigitan berbisa dan sakit sehingga boleh meracuni manusia. Hal ini adalah bertentangan dengan cara biawak ini melindungi diri mereka daripada ancaman musuh. Biawak air juga adalah seperti kita, dan jika rasa terancam, ia akan cuba melarikan diri dengan pelbagai cara. Jika terpaksa, ia akan menggunakan ekornya untuk melibas ancaman itu.

Gambarajah 3: Biawak air boleh berlari dengan sangat laju

Masyarakat masih tidak menyedari kepentingan biawak air dalam kawasan kediaman mereka untuk memastikan nilai estetik kawasan perumahan mereka terjaga. Secara tidak langsung, biawak air turut mengelakkan bau yang tidak menyenangkan melalui pelupusan bangkai haiwan dalam diet harian mereka. Perkara yang perlu dilakukan oleh penduduk yang menemui biawak air adalah mengembalikan haiwan tersebut ke kawasan luar rumah tanpa mendatangkan kecederaan kepada haiwan ini. Walaupun haiwan ini bukanlah haiwan yang dilindungi oleh akta Malaysia, ia wajar diberi peluang untuk hidup dan mengisi kekosongan dalam kitaran sesebuah ekosistem. Biarpun kewujudan biawak air digeruni oleh masyarakat, haiwan ini wajar dilindungi kerana ia merupakan komponen penting dalam rantaian makanan sesebuah ekosistem.