Wednesday 1 March 2017

Pemilihan jurnal untuk penerbitan

Pengenalan
Pemilihan jurnal untuk menerbitkan artikel penyelidikan kita adalah sangat penting untuk menjadi penyelidik yang berdaya saing di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa. Oleh yang demikian, saya akan memberi panduan untuk pemilihan jurnal dalam bentuk analogi untuk difikirkan bersama:

Gambaran
Pertama, kita perlu lihat bahawa artikel kita seperti duit dan jurnal seperti tempat pelaburan. Oleh itu, kita akan melaburkan duit (artikel) kita di tempat yang berbeza. Jika tempat pelaburan (jurnal) kita bankrap (hilang prestij), maka kita masih mempunyai pelaburan duit (artikel) pada tempat lain.



Rajah 1: Jurnal yang mempunyai Impact Factor pada tahun 2008-2013 tetapi telah hilang prestij pada tahun 2014-2016. Impact factor boleh disemak dengan menaip nama penuh jurnal dan disertakan dengan perkataan 'biox'. Contoh: Sains Malaysiana biox.


Kedua, dunia ini mempunyai lebih 170 buah negara. Jika kita hendak mendapat pengiktirafan antarabangsa, adalah lebih baik menerbitkan artikel yang ditulis pada negara yang berbeza-beza tanpa melihat sangat kepada Impact Factor atau Q1-Q4/SCOPUS/DOAJ. Hal ini kerana kebanyakan jurnal tidak mahu terlibat dengan sistem 'Ranking' seperti ini. Setiap negara mempunyai cara melihat kualiti artikel dalam keadaan yang berbeza. Namun, jika tidak yakin untuk menghantar artikel ke luar negara untuk penilaian, sekurang-kurangnya hantar ke jurnal tempatan yang berlainan.


Rajah 2: Peta Dunia. Bulatan merujuk kepada negara yang telah menerima artikel saya antara tahun 2009-2017 untuk diterbitkan dalam jurnal mereka.


Ketiga, jika ingin tahu bahawa artikel yang kita terbit adalah bagus, lebih baik lihat kepada bilangan 'Citation' bagi setiap artikel yang kita tulis kerana ia menunjukkan bahawa artikel tersebut bukan ditulis dalam keadaan 'syok sendiri' tetapi dirujuk oleh penyelidik lain.


Rajah 3: Graf Citation dan h-index boleh digunakan sebagai penunjuk kepada kualiti artikel yang telah ditulis.


Renungan
Sebagai penyelidik, adalah lebih baik untuk kekalkan momentum dengan menerbitkan artikel di jurnal secara berkala dari tahun ke tahun dalam jurnal Q3/Q4 atau SCOPUS/DOAJ daripada menghabiskan kesemua 'stamina' selepas menerbitkan 1 atau 2 artikel dalam jurnal Q1/Q2. Persoalan yang anda perlu tanya diri sendiri ialah: Anda ingin berusaha untuk mendapatkan 1 pingat emas (Q1/2) atau 3 pingat gangsa (Q3/4) ?