Wednesday 1 June 2022

Peranan Induk Burung Merbah Jantan Dan Betina Dalam Penjagaan Anaknya

Oleh Dzulhelmi Nasir & Nursyereen Nasir

Foto: Vijay Anand Ismavel & Syadan Ginu

Di dalam Al-Quran, Allah ada menyebut tentang burung dan bagaimana sifat aerodinamiknya menunjukkan kekuasaan Allah. “Tiadakah mereka memerhatikan burung yang mudah terbang diudara? Tiada yang menahannya, melainkan Allah. Sungguh pada demikian itu menjadi tanda (atas kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.” 16:79 (An-Nahl). Perkataan “yumsikuhunna” di dalam ayat bermaksud “memegang”. Dengan ini, ia boleh dimaksudkan dengan Allah memegang burung di udara dan terbang dengan perintahNya.

Gambarajah 1: Anak Pycnonotus goiavier yang baru berumur kurang dari 10 hari

Burung merbah atau juga dikenali sebagai ‘bulbul’ tergolong dalam spesies passerines saiz-sederhana yang dikategorikan dalam famili Pycnonotidae. Terdapat lebih 138 spesies merbah yang boleh dijumpai di benua America, Afrika, Asia dan Australia. Daripada jumlah tersebut, terdapat sebanyak 27 spesies merbah di negara Malaysia. Dua spesies merbah telah dikategorikan sebagai ‘Sangat Terancam’, tujuh sebagai ‘Hampir Terancam’ manakala yang lain-lain sebagai ‘Kurang Membimbangkan’. Secara amnya, burung merbah mudah didapati di hutan paya bakau, hutan primer dan sekunder, kebun, dan juga kawasan bandar dan luar bandar yang didiami manusia. Namun taburan dan jenis habitat adalah bergantung kepada spesies merbah.

Gambarajah 2: Pycnonotus jocosus sedang memakan serangga

Setiap spesies burung merbah mempunyai kaedah tersendiri dalam menawan pasangannya. Sebagai contoh, burung jantan Merbah Pipi Merah (P. jocosus) akan membuat beberapa pergerakan badan seperti menundukkan kepala, mengembangkan ekor dan kepaknya untuk menarik perhatian burung betina. Setelah berjaya menawan pasangan, burung merbah akan mula bergerak bersama pasangannya semasa mencari makanan dan menjalankan aktiviti harian. Walaupun kebanyakan spesies merbah biasanya kelihatan bersendirian atau berpasangan, terdapat juga spesies merbah seperti Merbah Siam (P. atriceps) yang hidup dalam kumpulan kecil merangkumi 6-8 individu pada satu-satu masa. Toleransi burung merbah terhadap spesies burung lain sangat tinggi terutamanya dalam perkongsian kawasan pencarian makanan mahupun tempat pembinaan sarangnya. Sebagai contoh, beberapa spesies burung seperti Ciak Rumah (Passer montanus), Murai Gila Biasa (Rhipidura javanica), Perenjak Pisang (Orthotomus sutorius), Tiong Jawa (Acridotheres javanicus) dan Zebra Dove (Geopelia striata) pernah kelihatan menghinggap bersebelahan dalam linkungan kurang dari satu meter dengan Merbah Kapur tetapi tidak menyebabkan reaksi negatif.

Gambarajah 3: Sepasang Pycnonotus cafer sedang bertenggek pada dahan pokok

Merbah mengambil masa antara 3-8 hari sebelum bertelur untuk membina sarang. Sarang dibina berdasarkan variasi tumbuhan, rumput, daun-daun, ranting-ranting dan lumut di habitat. Merbah mengeramkan telur sehingga sekurang-kurangnya 2 minggu. Apabila menetas, pengeraman mengambil masa lebih kurang 11 ke 12 hari.  Anak merbah mampu terbang pada hari ke 11. Masa pengeraman telur adalah antara telur terakhir yang keluar dan telur pertama yang menetas. Sesetengah induk memulakan pengeraman setelah habis proses bertelur dan anak menetas bersama ia disebut “hatching synchrony”. Sesetengah induk memulakan pengeraman sebelum habis proses bertelur dan anak-anak menetas pada masa berlainan. Ini disebut “hatching asynchrony”. Induk jantan dan betina Streak-eared bulbul (P.blandfordi) akan mengutip dan menelan tahi anak merbah sehari sebelum anak merbah mampu terbang. Anak merbah belum mampu lagi mencari makanan sendiri akan tunggu di dahan pokok. Induk akan terbang ke tanah untuk mengutip batu kecil dan daun bersama serangga yang telah ditangkap untuk diberi kepada anak. Bagi P.jocosus (red whiskered bulbul), induk akan bertelur sebiji sehari berturut-turut sehingga telur terakhir dikeluarkan. Kedua-dua induk mempunyai peranan yang berlainan. Kedua-dua induk memberi makan anak dan membersihkan najis tetapi hanya satu induk yang akan membersihkan dan merapikan anak merbah setelah makan. Frekuensi pencarian makanan dan pembersihan najis adalah lebih rendah bagi induk yang mempunyai peranan membersihkan anak merbah.

Burung merbah membina sarang berbentuk seperti mangkuk atau cawan yang dibina daripada ranting, dedaun kering, rumput, akar dan kulit pokok. Kedua-dua burung  jantan dan betina akan mengambil peranan bersama dalam pembinaan sarang tesebut. Bergantung kepada kawasan yang difikirkan selamat untuk membina sarang dan membesarkan anak, Merbah Siam (P. atriceps) biasanya membina sarangnya pada ketinggian antara 30-150 cm dalam belukar di bawah pokok rotan, manakala Merbah Kapur (P. goiavier) pula lebih gemar membuat sarang di atas tiang lampu, pagar mahupun di dalam pasu bunga sekiranya berada di kawasan bandar. Masa yang diambil untuk membina sarang bagi kebanyakan spesies Merbah mencecah sehingga 7 hari.

Gambarajah 4: Pycnonotus jocosus sedang berehat

Setelah sarang siap dibina, burung betina akan duduk di dalam sarang dan bertelur antara satu hingga empat biji pada satu-satu masa, manakala burung jantan pula akan duduk berdekatan dengan sarang tersebut. Apabila telur dihasilkan, burung betina akan mengambil peranan mengeram dan memastikan suhu optimum selama lebih kurang dua minggu sehingga telur itu menetas. Pada masa ini, burung betina akan membahagikan masa antara mengeram dan mencari makanan untuk dirinya. Kadangkala, terdapat juga telur yang tidak berjaya menetas. Sekiranya ia menetas sekalipun, anak burung tersebut mungkin akan berada dalam keadaan lemah dan tidak sihat. Oleh sedemikian, burung betina akan menolak anaknya keluar dari sarang kerana anak tersebut tidak akan berupaya untuk meneruskan hidup dan membesar dengan baik. Selepas telur menetas, burung betina akan menghabiskan lebih 40% masanya bersama anaknya setiap hari. Pada masa ini, burung betina dan burung jantan akan berusaha mencari makanan yang terdiri daripada serangga kecil dan buah-buahan kecil untuk anak-anak mereka.

Gambarajah 5: Pycnonotus goiavier memakan buah-buahan

Seawal matahari terbit, burung betina dan jantan akan terbang berulang-alik antara 4-10 kali setiap jam dengan anggaran masa antara 5-8 minit setiap kali dengan membawa makanan untuk anak-anaknya di dalam sarang. Walau bagaimanapun, tidak semua usaha mencari makanan berjaya mendatangkan hasil. Adakalanya, burung betina dan jantan akan pulang tanpa makanan untuk diberikan kepada anak mereka. Makanan anak burung merbah terdiri daripada serangga seperti belalang, pepatung, labah-labah, rama-rama, larva kumbang dan haiwan kecil seperti cicak. Ia bergantung kepada nic kawasan makanan yang disukainya. Sebagai contoh, Barau Barau (P. zeylanicus) boleh kelihatan mencari makanan pada kanopi pokok tinggi, manakala Merbah Jambu Hitam (P. flaviventris) mendapatkan makanannya di kawasan belukar.

Pada peringkat awal usia anak merbah, induk betina dan jantan akan memberi makanan berupa serangga kecil yang mempunyai kandungan protein yang tinggi. Apabila anak merbah semakin membesar, induk betina dan jantan akan mula memberi makanan yang terdiri daripada buah-buahan, serangga kecil dan haiwan kecil seperti cicak. Dengan usia anak merbah yang semakin meningkat, keperluan zat makanannya juga turut meningkat. Dalam penjagaan anak, induk betina dan jantan akan berusaha mencari makanan dengan lebih berganda seiring dengan tumbesaran anak-anaknya. Pada masa yang sama, induk merbah turut perlu mencari makanan untuk diri sendiri supaya mempunyai tenaga yang cukup untuk membesarkan anaknya. Pencarian makanan akan berlarutan sehingga matahari mula terbenam. Pada waktu malam, induk betina akan tidur di dalam sarang manakala induk jantan pula akan tidur bersebelahan dengan sarang tersebut.

Gambarajah 6: Pycnonotus atriceps sedang berjemur di bawah matahari

Anak merbah akan mula keluar dari sarangnya dan berjalan di atas dahan pokok berhampiran seawal usia hari ke-9 hingga ke-11. Anak merbah akan mampu terbang berdekatan dengan sarangnya antara hari ke-11 hingga ke-16. Walau bagaimanapun, anak merbah masih bergantung kepada induk betina dan jantan untuk pencarian makanan untuk dirinya walaupun mampu terbang pada jarak yang dekat. Induk betina dan jantan akan terbang bersama anaknya. Apabila anak tersebut lapar, induk betina dan jantan akan terbang mencari makanan manakala anaknya hanya akan menunggu di atas dahan. Selepas beberapa lama, sarang akan diabaikan dan anak merbah akan mula bebas bergerak sepertimana induk betina dan jantan. Namun begitu, anak merbah pada ketika ini belum menguasai kaedah dan masih belum mampu mencari makanan dengan sendiri tanpa bantuan induknya. Biasanya, induk merbah akan terbang bersama anaknya untuk mencari makanan dan ini akan berlangsung sehingga anak merbah mencecah dewasa dan boleh berdikari.

Sarang yang dibina juga sering mendapat perhatian daripada pemangsa walaupun biasanya terlindung diantara dedaun dan ranting pokok. Pemangsa akan menumpukan perhatian pada pergerakan induk merbah yang kerap berterbangan ulang alik dari sarang tersebut. Untuk mengaburi pemangsa daripada lokasi sebenar sarangnya, induk betina dan jantan akan hinggap berdekatan dengan sarangnyas sambil memerhatikan keadaan sekeliling supaya bebas daripada pemerhatian pemangsa, sebelum menghinggap pada sarangnya. Antara pemangsa utama kepada anak merbah yang berada dalam sarang termasuklah burung gagak, tupai, kucing, monyet, musang dan ular. Jika anak merbah yang berada dalam sarang mendapat ancaman daripada pemangsa, induk betina dan jantan akan mengeluarkan bunyi dan berterbangan berhampiran pemangsa untuk mengalih perhatian agar pemangsa menyasarkan induk betina dan jantan. Adakalanya, spesies seperti Merbah Pipi Merah (P. jocosus) akan menyamar seakan-akan dalam keadaan sakit untuk menarik perhatian pemangsa yang ingin mendekati sarangnya. Secara purata, kadar kemandirian anak merbah hanya sebanyak 10-15% sahaja.

No comments:

Post a Comment