Friday 1 July 2022

Kura-Kura

Oleh Suhaidah Masri, Irham Razak & Dzulhelmi Nasir

Kura-kura adalah spesies penyu yang tinggal di daratan dan tidak boleh tinggal di air. Kura-kura mempunyai kaki yang berbonggol dan bersisik. Saiz Kaki kura-kura lebih kecil berbanding saiz kaki penyu laut. Terdapat lebih kurang 49 spesies kura-kura yang mempunyai pelbagai saiz. Bermula dari saiz yang paling kecil iaitu padlopers (Homopus) berasal daripada afrika selatan sehingga ke saiz kura-kura yang paling besar iaitu galapagos dan aldabra. Kura-kura mempunyai jangka hidup yang panjang iaitu di antara 30 hingga 150 tahun. 

Secara umumnya, jantan dan betina kura-kura boleh dibezakan melalui ekor. Jantan mempunyai ekor yang lebih panjang iaitu biasanya ditarik ke atas dan ke sisi cangkerang belakang, manakala betina mempunyai ekor yang lebih kecil dan jatuh ke bawah. Kura-kura dapat berkomunikasi sesama sendiri menggunakan beberapa teknik seperti visual, sentuhan dan olfaktori (bau). Apabila kura-kura jantan bertemu dengan kura-kura jantan, kura-kura tersebut akan mula berinteraksi dengan menggerakkan kepalanya keatas dan kebawah berulang ulang kali. Manakala, apabila kura-kura jantan bertemu dengan kura-kura betina, kura-kura betina akan berundur sebagai tindak balas terhadap kura-kura jantan, dan kura-kura jantan kemudian akan meningkatkan pergerakan kepalanya dan cuba mengelilingi kura-kura betina berkenaan.

Gambarajah 1: Asian Brown Tortoise (Manouria emys) dijumpai di Lembah Danum, Sabah

Kura-kura menggunakan teknik lingual prehension sebagai cara untuk mereka makan. Lingual prehension ialah teknik dimana kura-kura akan mengeluarkan lidah nya untuk menyentuh makanan dan memakan makanan tersebut. Selain itu, kura-kura mempunyai sifat generalis forager dimana ianya mampu bertahan dalam pelbagai keadaan persekitaran dengan mengubah pemilihan makanan mereka mengikut kesesuaian musim dan cuaca. Di Malaysia, sesetengah masyarakat seperti orang asli, bidayuh dan iban yang berasal daripada negeri Sarawak mengambil kura-kura sebagai sumber makanan mereka kerana dipercayai mempunyi kandungan vitamin yang baik untuk kesihatan manusia. 

Kura-Kura air tawar di Malaysia terbahagi kepada tiga iaitu kura-kura bukit, labi-labi dan tuntung. Persamaan ketiga-tiga jenis ini adalah kesemua memiliki ciri fizikal umum bagi kura-kura iaitu bercengkerang, berkuku, umur yang panjang dan boleh hidup di darat atau air. Kura-kura bukit juga dipanggil sebagai ‘Baning’. Baning adalah kura-kura yang gemar hidup di darat, dan jarang meluangkan masa di dalam air. Kaki kura-kura baning berbeza dengan labi-labi dan tuntung dari segi kakinya yang tiada selaput dan bersisik. Hal ini demikian, kerana Baning hidup di darat, dan tidak memerlukan selaput kaki. Baning mempunyai cengkerang yang keras, dan kaki yang bergerigi. Labi-labi pula adalah kura-kura yang mempunyai cengkerang lembut di samping punyai hidung yang panjang. Labi-labi adalah kura-kura yang hidup kebanyakan masanya di dalam air. Tuntung pula adalah spesies kura-kura yang mempunyai cengkerang keras, tetapi hidup di dalam air. Baning adalah kura-kura yang makan tumbuh-tumbuhan, berbeza dengan labi-labi yang karnivor, dan tuntung yang mempunyai pemakanan omnivor. 

Gambarajah 2: Asian leaf turtle (Cyclemys dentata) yang dijumpai menyeberangi jalan raya di Sukau, Sabah

Kura-kura memainkan peranan penting dalam rantaian makanan sesebuah ekosistem. Hal ini kerana Kura-kura boleh bertindak sebagai mangsa atau pemangsa kepada invertebrata spesies. Satu-satunya cara jangka panjang untuk menjamin kemandirian kura kura adalah dengan mengekalkan habitatnya. Hampir semua spesies kura-kura menghadapi kebimbangan setempat akibat eksploitasi mereka untuk makanan dan perdagangan haiwan peliharaan. Penebangan hutan, degradasi, pemecahan, dan perubahan habitat untuk pertanian, serta pembandaran adalah antara faktor yang emnajdi penyumbang utama kepada penurunan populasi. Tambahan juga, populasinya juga terjejas oleh pemangsa sarang dan penetasan, pencemaran, spesies penceroboh, perdagangan haiwan peliharaan haram dan perubahan iklim global. Salah satu kesukaran yang dihadapi dalam usaha pemuliharaan kura-kura ialah keupayaan kura-kura untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran. Sebagai contoh, Kura-kura darat sukar dikesan di padang kerana ia mampu mengubah habitatnya mengikut kesesuian dengan persekitaran mereka, kura-kura ini bersembunyi dalam cangkerangnya, jarang bersuara, dan tidak meninggalkan kesan yang kelihatan. Kebanyakkan spesies kura-kura di Malaysia adalah di bawah akta lindungan, dan status keberadaan spesies kura-kura ini dinilai kerana jumlahnya yang kian menurun.

No comments:

Post a Comment