Monday 1 April 2013

Bukit Melawati Kuala Selangor: Populasi Lutong

Lutong merupakan spesies yang berada dalam kategori 'Hampir Terancam' dan kebanyakan populasi lutong boleh dijumpai di kawasan hutan paya dan hutan tebing sungai. Namun, perkara yang sangat menakjubkan ialah kewujudan populasi Lutong Trachpithecus cristatus yang hidup dalam kelompok yang besar di Bukit Melawati Kuala Selangor. Hal ini kerana di sebelah Bukit Melawati ini terdapat Taman Alam Kuala Selangor yang memulihara hutan paya bakau. 


Menurut penjual makanan lutong yang telah bersama dengan populasi lutong tersebut selama 12 tahun, populasi lutong kian bertambah dengan baik. Sebelum ini, hanya terdapat 2 kumpulan kecil tetapi kini terdapat 4 kumpulan lutong di Bukit Melawati yang boleh dianggarkan melebihi 100-150 individu. Yang menariknya, setiap ketua kumpulan lutong diberi nama antaranya 'Verapa' merujuk kepada nama hero hindi. Tegasnya lagi, mereka juga mengenali 3 lutong yang kaki pencuri terdiri daripada 2 lutong betina dan 1 lutong jantan. 


Penjual makanan lutong itu menjual kacang panjang, kacang tanah dan bayam dengan harga yang sangat murah dan berpatutan. Saya amat kagum kepada penjual makanan ini kerana mereka seringkali memberi makanan ini kepada lutong setiap hari seperti haiwan peliharaannya. Mereka sering menaburkan makanan pada kuantiti yang banyak untuk dimakan oleh lutong daripada ingin untung banyak. Mainan berupa singa yang terdapat pada atas kotak yang dibawa di belakang motor itu merupakan objek yang digeruni oleh lutong. Maka, lutong tidak akan mengambil makanan yang disusun di atas kotak selagi mainan singa berada di atasnya.



Saya amat berharap agar pelawat tidak memberinya makanan selain yang berupa sayur kerana makanan lutong adalah 100% dedaun dan sayuran. Keistimewaan lutong di Bukit Melawati menarik minat saya untuk sentiasa melawat tempat tersebut jika melintasi Kuala Selangor.







No comments:

Post a Comment