Wednesday, 1 October 2014

REALITI: Amalan 'boncengan gratis' dalam dunia akademik

Ditulis oleh Mohd Shukri Hanapi, Felo Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA), Universiti Sains Malaysia
Tarikh: 20 Julai 2011
Penerbit artikel: Utusan Malaysia

SELAIN amalan plagiarisme, terdapat satu lagi amalan yang dikatakan semakin berleluasa dalam dunia akademik pada masa kini, iaitu boncengan gratis.

Masalah inilah sebenarnya yang cuba dibincangkan oleh Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh dalam artikelnya Sindrom 'Boncengan Gratis' Dalam Dunia Akademik yang disiarkan oleh Utusan Malaysia baru-baru ini. Ia merupakan satu isu 'dalaman' dalam dunia akademik yang amat penting diberi perhatian oleh ahli-ahli akademik dan para pelajar.

Berdasarkan apa yang telah dibincangkan oleh Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh itu, dapatlah dirumuskan lima faktor utama yang mendorong kepada berleluasanya amalan boncengan gratis dalam dunia akademik ketika ini. Faktor-faktor tersebut ialah Pertama, meletakkan nama penyelia atas permintaan mereka. Berhubung hal ini, ada segelintir ahli akademik yang dipertanggungjawabkan sebagai penyelia kepada seseorang pelajar, meminta pelajar seliaannya itu memasukkan namanya sebagai penulis bersama dalam sebarang penulisan akademik yang dihasilkan. Tidak kiralah sama ada penulisan akademik itu berbentuk kertas kerja seminar, atau artikel jurnal atau buku yang dihasilkan dari tesis, asalkan ada kaitan dengan seliaannya sahaja terus diminta dimasukkan nama. Alasan yang diberikan ialah perlu meletakkan nama penyelia kerana dia telah menyumbang idea dan membimbing pelajar sehingga dapat menyiapkan penyelidikan.

Kedua, meletakkan nama penyelia sebagai penghargaan seseorang pelajar terhadap sumbangan yang diberikan oleh penyelianya. Dalam hal ini pula, ada segelintir pelajar yang rasa amat terhutang budi kepada penyelianya kerana mereka banyak menyumbang idea, membimbing, memberi tunjuk ajar, menyemak hasil penulisan akademik sehingga berjaya menyiapkan penyelidikan, artikel jurnal, kertas kerja dan sebagainya. Bagi golongan pelajar ini, mereka merasa 'amat bersalah' jika tidak memasukkan nama penyelia sebagai penulis bersama dalam penulisan akademik yang dihasilkan, walau pun penyelianya itu tidak pernah meminta pun mereka berbuat demikian.

Ketiga, wujud penulis-penulis yang berpakat untuk bertukar-tukar meletakkan nama masing-masing dalam sesebuah hasil penulisan akademik yang mereka tulis. Hal ini boleh terjadi dalam tiga keadaan. Pertama, sesama ahli akademik. Kedua, sesama pelajar. Ketiga, antara seseorang akademik (lazimnya penyelia) dengan pelajarnya.
Sebagai contoh, Si A, B dan C masing-masing menulis kertas kerja untuk sesuatu seminar. Pada masa yang sama, mereka berhasrat untuk mencukupkan hasil penulisan akademik bagi tujuan-tujuan tertentu. Lalu mereka berpakat untuk menghasilkan dan membentangkan tiga kertas kerja dalam satu seminar. Cara yang dilakukan itu boleh digambarkan sebegini. Si A menulis sebuah kertas kerja, pada masa yang sama dia meletakkan juga nama Si B dan C di bawah namanya. Dengan hanya menukarkan nama penulis pertama sahaja, Si A, B dan C masing-masing 'berjaya' menghasilkan dan membentangkan tiga buah kertas kerja dalam satu seminar. Jika diperhatikan, sekejap mereka menjadi penulis pertama, dan sekejap mereka menjadi pembonceng gratis.

Keempat, memasukkan nama seseorang rakan yang tidak memberi apa-apa pun sumbangan yang sepatutnya dengan alasan ingin membantunya. Sebagai contoh, Si A dan Si B telah berpakat untuk menulis sebuah artikel secara bersama untuk diterbitkan dalam sesebuah jurnal akademik. Sebaik sahaja artikel jurnal itu siap ditulis, tiba-tiba Si B meminta kebenaran Si A untuk memasukkan nama kawannya, iaitu Si C (pembonceng gratis) dengan alasan ingin membantu Si C yang masih belum cukup hasil penulisan dan penerbitan akademik. Sedangkan dalam hal ini Si C tidak memberi apa-apa sumbangan pun dan tidak tahu apa pun yang ditulis oleh rakan-rakannya.

Kelima, meletakkan nama seseorang rakannya yang lain kerana dia membiayai sepenuhnya kos untuk membentangkan sesebuah kertas kerja di sesuatu seminar. Membiayai kos pembentangan merupakan hal ehwal yang tidak melibatkan penulisan. Justeru, ini juga boleh dikatakan satu bentuk boncengan gratis. Dalam hal ini, boleh terjadi juga apabila seseorang yang telah menghasilkan sesebuah kertas kerja untuk dibentangkan dalam sesuatu seminar, tetapi atas sebab-sebab tertentu dia tidak dapat pergi membentangkan kertas kerjanya itu. Atas inisiatif lain, beliau meminta bantuan salah seorang dari rakannya untuk membentangkan kertas kerja tersebut. Rakannya pun itu menyatakan kesanggupan untuk membentang, tetapi dengan syarat perlu meletakkan namanya selaku penulis bersama terlebih dahulu walau pun tidak menyumbang apa jua bentuk penulisan pun.
Berdasarkan kepada kesemua faktor yang mendorong kepada berleluasanya amalan boncengan gratis di Malaysia pada ketika ini, dapatlah disimpulkan bahawa amalan boncengan gratis yang dibincangkan oleh Muhammad Syukri sebelum ini perlu diberi perhatian oleh ahli-ahli akademik dan ditangani dengan sebaik mungkin. Walau pun dalam boncengan gratis itu ada unsur 'reda' dari penulis pertama, ia tetap dianggap sebagai amalan yang tidak beretika dan berintegriti dalam dunia akademik.

Dengan membiarkan amalan boncengan gratis ini berleluasa dalam dunia akademik, maka sudah pasti akan lahirlah ahli-ahli akademik dan pelajar-pelajar yang tidak beretika dan tidak berintegriti dalam menghasilkan sesebuah penulisan atau penerbitan akademik.

No comments:

Post a Comment